Kehebatan Soekarno Menghadapi Wanita
Kehebatan Soekarno menghadapi Wanita |
RABU lalu, kota Jakarta dan semua bandar di Indonesia bergema dengan nama Sukarno sempena 100 tahun kelahiran presiden pertama negara itu. Pelbagai sambutan diadakan bagi mengenang tokoh yang mengisytiharkan kemerdekaan Indonesia pada tahun 1945 dan meninggal dunia pada tahun 1970.
Namun Sukarno bukan sahaja dikenang sebagai seorang pemimpin unggul Indonesia yang telah berkhidmat hampir 22 tahun kepada bangsa Indonesia sebagai presiden tetapi dia juga dikenali sebagai `penakluk wanita' paling jago di negara itu.Kini sempena ulang tahun kelahirannya yang ke-100, kisah-kisah cinta Sukarno yang cukup unik dan menarik kembali dicanangkan di media massa utama Indonesia.
Justeru, dikala ini penulis akan memaparkan kembali kisah menarik tersebut sebagai renungan dan pengetahuan kita bersama.
Isteri terakhir yang dinikahi secara rasmi oleh Sukarno ialah Heldy Djafar setahun sebelum kejatuhannya sebagai presiden pada tahun 1967.
Perkahwinan dengan Heldy hanya berlangsung selama dua tahun kerana selepas kejatuhannya Sukarno dihumban ke dalam tahanan di Wisma Yaso, Jakarta.
Heldy merupakan salah seorang daripada sederet perempuan yang pernah jatuh di bawah jajahan takluk cinta Sukarno dan berkahwin dengannya.
Wanita-wanita lain yang pernah menjadi isteri dia ialah Utari Tjokroaminoto, Inggit Garnasih, Fatmawati (ibu Naib Presiden, Megawati Sukarnoputri), Hartini, Yurike Sanger, Haryati, Kartini Manoppo dan Ratna Seri Dewi.Beberapa perkahwinan Sukarno berakhir dengan perceraian manakala perempuan yang bisa bertahan sehingga Sukarno meninggal dunia pada tahun 1970 ialah Hartini dan Ratna sari Dewi.Daripada sembilan isterinya itu, Fatmawati yang melahirkan lima orang anak Sukarno (termasuk Megawati) menjadi Wanita Pertama Indonesia.
Sukarno sememangnya seorang lelaki yang cukup mengagumi kecantikan wanita. Atas alasannya itulah dalam satu wawancara Sukarno pernah menyatakan, ``Tuhan membuat perempuan penuh dengan keindahan. Saya fikir setiap lelaki normal bahagia melihat keindahan yang ada pada diri wanita.''
Bapa Megawati itu sememangnya memiliki karisma untuk menakluk perempuan sehingga dia tidak pernah membeza-bezakan usia atau latar belakang perempuan yang ingin ditakluknya.
Heldy dan Yurike contohnya dinikahi ketika mereka berusia 18 tahun. beza umur mereka dengan Sukarno ialah 48 tahun. Fatmawati disunting ketika berusia 20 tahun manakala Inggit Garnasih renta lebih 15 tahun daripada Sukarno. Ratna Sari Dewi pula ialah seorang perempuan yang pernah bekerja di kelab malam dan kemudiannya menjadi model terkenal.Haryati ialah seorang penari di Pejabat Setiausaha Negara. Mereka berkahwin pada tahun 1963 dan bercerai tiga tahun kemudian. Sukarno seterusnya berkahwin dengan Yurike Sanger pada tahun 1964, perkahwinan itu juga hanya bertahan tiga tahun.Begitu juga dengan Kartini Manoppo, bekas pramugari syarikat penerbangan Indonesia, Garuda. Sukarno jatuh cinta pada Kartini apabila melihat potret wajah perempuan itu yang dilukis oleh Basuki Abdullah. Mereka bernikah pada tahun 1959 dan memperoleh anak pada tahun 1967. Anak itu diberi nama Totok Suryawan Manoppo.
Namun kesemua perempuan yang pernah tunduk kepada cinta Sukarno harus juga bersedia melihat api asmara mereka dengan Sukarno pudar apabila presiden itu bertemu perempuan lain.
Dalam wawancara dengan majalah Tempo pada tahun 1999, Hartini menceritakan mengenai kegemaran Sukarno kepada perempuan cantik.
``Cintanya kepada perempuan yang bagus ialah beban bagi saya. Walaupun saya sudah berusaha mendapatkan dia sebagaimana adanya, dia sangat menyayangi keindahan, termasuk keindahan dalam kecantikan wanita,'' kata Hartini.
Malah bekas ajudannya, Bambang Widjanarko sepertimana dilaporkan oleh majalah Tempo pernah berkata, ``Daya tarik dan daya intelektualnya yang tinggi menjadikan Sukarno seorang master dalam menakluk hati wanita.''
Sememangnya sebagai lelaki Sukarno amat bijak mencari kelemahan perempuan sehingga mereka tunduk kepada cinta kasanovanya. Salah satu cara yang dia lakukan ialah dengan memuji dan memberi perhatian penuh kepada perempuan yang diinginkannya.
Sudah menjadi aturan eksekusi alam perempuan sememangnya suka dipuji dan merasa disanjung. Atas alasannya itulah Sukarno berjaya membuat perempuan yang ingin ditakluknya benar-benar merasai hanya dia seorang sahaja yang dicintai oleh Sukarno.
Dalam perjuangan mencairkan hati seorang wanita, Sukarno tidak segan mengambil minuman untuk tamu wanitanya atau memimpin tangan mereka ketika turun dari kenderaan.
Bak kata Allahyarham Tan Sri P. Ramlee dalam filemnya Madu Tiga, ``Mesti cerdik pembohong, mesti cerdik temberang tetapi jangan hingga hai pecah tembelang.''
Itulah yang dilakukan oleh Sukarno. Oleh kerana memiliki banyak isteri, dia harus benar-benar berhati-hati dalam tindak-tanduknya agar `tembelang' tidak pecah.
Menurut Bambang, antara yang dilakukan oleh Sukarno ialah memastikan dirinya sentiasa berada dalam keadaan rapi tanpa mengakibatkan `sebarang keraguan yang munasabah'.
Maksudnya, kalau dia mahu keluar dari rumah isterinya dan mahu ke rumah isterinya yang lain dia akan memastikan pakaiannya tidak memiliki sebarang kesan gincu bibir dan anyir minyak wangi.
Jika ada, Sukarno bersedia untuk menggantikan pakaian dan mandi terlebih dahulu sebelum meluncur ke rumah isteri yang berikutnya. Sukarno sememangnya memiliki alasan sendiri kenapa dia berbuat demikian.
Menurut Sukarno, kalau sekali sahaja seorang lelaki tidak mengakui bahawa dia memiliki relasi dengan perempuan lain, sebaiknya dia berbohong untuk selamanya.
Demi untuk menjaga `tembelang' itulah, suatu hari Sukarno pernah mengarahkan pembantu-pembantunya merosakkan enjin kereta salah seorang isterinya dan menghadang jalan depan istana dengan sebuah lori bagi mencegah kehadiran isteri yang satu lagi.
Semua itu berlaku apabila isteri tersebut tiba secara mengejut ketika Sukarno sedang `bercerekarama' dengan isteri yang lain. Namun Sukarno bukanlah takut kepada kemarahan seorang perempuan kerana dia juga memiliki cara tersendiri untuk mengendali emosi seorang wanita.
Apa yang sering dia lakukan ialah menulis kata-kata indah di atas satu kertas dan mengirimkan hadiah. Tindakan Sukarno yang paling berani (dan mungkin juga tidak bisa dilakukan oleh lelaki lain) ialah meminta kebenaran daripada isterinya yang gres dua hari bersalin untuk berkahwin lagi satu.
Peristiwa itu berlaku selepas dua hari Fatmawati melahirkan Guruh Sukarnoputra. Sukarno bertemu dengan perempuan pertama tersebut untuk meminta izin bernikah dengan Hartini.
Walaupun kejadian itu melukakan hati Fatmawati sehingga dia berpindah ke Jalan Sriwijaya, Jakarta namun Fatmawati tetap menghormati Sukarno atas `keberaniannya' itu.
``Terlepas daripada perasaanku, satu hal yang patut dipuji: Bung Karno tidak hipokrit,'' kata Fatmawati dalam sebuah buku berjudul Catatan Kecil Bersama Bung Karno.
Pepatah lautan api mampu direnangi bukan omong kosong bagi Sukarno kerana dalam memenuhi rasa cintanya kepada seorang wanita, Sukarno mampu menempuh apa juga halangan.
Perkahwinan dia dengan Hartini, contohnya satu tamparan terhadap kaum perempuan Indonesia yang ketika itu sedang ghairah menuntut pelaksanaan undang-undang perkahwinan antipoligami.
Persatuan Wanita Republik Indonesia telah mengadakan demonstrasi membantah perkahwinan berkenaan namun Sukarno tetap mempertahankan perkahwinannya dengan Hartini dan menempatkan perempuan itu di Istana Bogor sehingga dia jatuh sebagai presiden.
Bagaimanapun tidak semua perkahwinan Sukarno menghasilkan anak. Ketika berkahwin dengan Inggit, Sukarno mengambil dua orang anak angkat iaitu Ratna Djuami dan Kartika, dengan Fatmawati dia memperoleh lima orang anak iaitu Guruh, Megawati, Rachmawati, Sukmawati dan Guntur, dalam perkahwinan keempatnya dengan Hartini dia memperoleh dua anak lelaki iaitu Taufan Sukarnoputra dan Bayu Sukarnoputra. Taufan meninggal dunia pada tahun 1980 kerana sakit.
Sukarno kemudian memperoleh seorang lagi anak hasil perkahwinannya dengan Ratna Sari Dewi iaitu Kartika Sari Sukarno yang kini bermastautin di New York.
Demikian kehebatan cinta presiden pertama Indonesia, Kusno Sosro Sukarno. Beliau kini bukan sahaja disanjung sebagai seorang pemimpin yang bisa menakluk hati 220 juta rakyat Indonesia tetapi juga merupakan Don Juan yang bijak mencairkan cinta setiap perempuan yang dipandangnya.
Mungkin Sukarno boleh sahaja dianggap sebagai kasanova tetapi di sebalik kisah cinta dan perkahwinannya itu, ada pesanan yang tersirat untuk kaum lelaki zaman kini yang berhasrat berkahwin lagi iaitu harus memiliki keberanian menempuh halangan dan mesti cerdik temberang.
Ini kerana kolam kata Sukarno: ``Seorang isteri akan memaafkan dan melupakan perbuatan suaminya yang salah, tetapi kalau suaminya memiliki relasi dengan perempuan lain... isterinya mungkin akan memaafkannya tetapi tidak akan pernah melupakannya.'' -